NANTIKAN KEMUNCULAN MAJALAH ILHAM TERBARU PADA 18 FEB. INI DENGAN WAJAH YANG LEBIH MENARIK...

MESYUARAT GUBAL PERLEMBAGAAN PMTIS... - tarikh & tempat akan diberitahu kemudian

NANTIKAN PEMBENTANGAN BAJET TAHUNAN PMTIS OLEH KETUA UMUM PMTIS...

HADIAH MENARIK UNTUK PEMENANG KUIZ "KENALI SYRIA" BERSAMA SHAHIN TRAVEL...

SILA PERBAHARUI MAKLUMAT AHLI DENGAN MENGHANTAR SALINAN PASPORT TERBARU KEPADA SETIAUSAHA...







Counter
Counter

Ilham merupakan buletin & majalah yang menitik beratkan nilai pentarbiyahan murni Islam kepada para pembaca. Sumbangan daripada pembaca samada dalam bentuk rencana, komentar, kritikan dan sorotan sangat dialu-alukan. Kumpulan pengarang berhak melakukan perubahan ke atas artikel yang dikirim selagi tidak merubah isinya. Artikel yang dihantar tidak semestinya menggambarkan pendirian atau manhaj pihak penerbit. Segala sumbangan yang dihantar samada disiarkan atau sebaliknya tidak akan dikembalikan. Sidang pengarang juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan karya yang dikirim melalui pos. sebarang usaha untuk menerbitkan semula mana-mana bahagian dari makalah ini hendaklah mendapat kebenaran dari pihak pengarang terlebih dahulu.


PENASIHAT
Mohd Zulfadhli Yusof

PENGARAH URUSAN
Wan Muhammad Wan Abd Halim

TIMB. KETUA PENGARAH
Fitriah Ahmad Foad

KETUA EDITOR
Abd Aziz Ahmed

TIMB. KETUA EDITOR
Siti Fatimah Yusof

EDITOR
Mohd Nizam Ab Aziz,
Mohd Afiq bin Kamaruzzaman,
Siti Aisyah Adnan,
Siti Hazwani Ismail

WARTAWAN
Mohd Bilal Mohd Zain,
Nurul Aiman Wahab

KOLUMNIS
Mohd Azhar Yusof,
Mohd Hafiz Ahmad,
Mohd Omar Farouq Ali,
Nur Muhd As Siddiq Muhamad,
Nur Suhaila Noordin

PENULIS TAMU
Mohd Hafiz Ahmad,
Siti Hajar Fatimah Adnan

JURU TAIP
Nur Aina Zahani,
Nur Farhana Mohd Nor

JURU KAMERA
Mohd Luqman Hakim Ridzuan

LAYOUT
Mohd Yusrizal Yushar

DESIGNER
Muhammad Hassan Mohamad Hussain

PEMASARAN
Muaz Adnan,
Huda Farhan Mohd Zaki,
Khuzaimi,
Lokman Hakim,
Syirazi

PERCETAKAN
Alafbaru03

PENERBIT
Pelajar Maahad Tarbiah Islamiah Syria
(PMTIS)
P. O. BOX : 12396 Damascus - Syria
www.pmtis.blogspot.com
www.majalahilham.blogspot.com





kesan penjajahan kafir siam terhadap umat islam me...

PALESTIN – TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Perjuangan Yang Belum Selesai

PERANAN ULAMA DALAM GERAKAN PEMBEBASAN PATTANI

RUMUSAN SEJARAH PATTANI

Apa Kata MUSYRIF

KHABAR YANG TERPENJARA

DR. WAHBAH AZ-ZUHAILY TOKOH MAAL HIJRAH 1430

GAMBAR SEKITAR MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PMTIS

APABILA DUNIA MENGHIJAB





Januari 2009 Februari 2009 Mac 2009 April 2009





<$Sabtu, 4 April 2009$>
kesan penjajahan kafir siam terhadap umat islam melayu Patani
Oleh : Mohd Azhar Yusof

Tidak di nafikan setiap penjajahan mempunyai matlamatnya yang tersendiri sama ada dari segi kebendaan dan dalaman, penjajahan di laksanakan di segenap segi dan sudut supaya ''jajahan'' itu tepat dan sempurna dengan maksud dan ertinya. Bukan bangsa melayu sahaja yang di jajah, tetapi setiap bangsa yang beragama Islam juga di jajah, hingga sekarang walaupun secara jasadnya tidak di jajah tetapi akalnya masih terjajah. Sudah beratus tahun umat Islam melayu Patani di jajah dan hingga sekarang masih di jajah oleh kafir siam maka sudah pasti kesan penjajahan itu masih mekar dapat di lihat hingga ke masa hadapan. Penjajahan mempunyai makna yang luas, bukan sekadar jasad sahaja, bahkan akal fikiran juga turut di jajah, ia menyerap masuk dalam pemakanan, pemakaian, bahasa, tingkah laku, cara hidup, cara fikir, hiburan dan lain-lain lagi, yang mana secara tidak lansung dapat menghilangkan keperibadian sebenar bangsa yang di jajah. Dari segi bahasa, penjajahan bahasa adalah satu jenis senjata untuk melengkapkan penjajahan jasad, apabila di serapkan bahasa penjajah dengan corak yang indah, tanpa di sedari bahasa penjajah di gunakan dalam pergaulan seharian dan bahasa sendiri sudah di lupakan, timbullah perasaan bahawa bahasa sendiri mundur tidak maju berbanding bahasa penjajah, apabila bahasa sudah di lupakan maka akan hilanglah bangsa sepertimana kata pepatah ''bahasa jiwa bangsa'', kerana hanya bahasa yang membezakan kita dengan bangsa yang lain. Kalau kita lihat kepada umat Islam melayu Patani tentang penggunaan bahasa melayu, bahasa melayu tidak berkembang bahkan makin terhakis, pengaruh penggunaan bahasa kafir siam tersebar dengan begitu luas, hinggakan bahasa melayu tidak dapat memberi nama atau istilah kepada sesuatu yang baru muncul, ada yang tidak fasih berbahasa melayu tetapi fasih berbahasa kafir siam, bahkan berbangga pula dengan bahasa kafir siam. Apa yang terjadi ialah penggunaan bahasa kafir siam secara meluas, bahasa sendiri di pinggirkan, memahami dan fasih bahasa kafir siam, tidak memahami dan tidak fasih bahasa melayu, menulis dalam tulisan kafir siam, membaca akhbar atau majalah berbahasa kafir siam, hiburan lagu di dengar dalam bahasa kafir siam, ini menjadikan bahasa melayu di lihat ''miskin'' dengan istilah dan tidak selari dengan peredaran zaman. Di segi pemakanan yang mana menimpa seluruh umat Islam di dunia yang mana menjadi ''pengguna dan pemakan'' sahaja, bukannya menjadi pengeluar, mengguna dan memakan apa sahaja tanpa mengambil kira tentang soal halal haram, sama ada bersumberkan halal atau tidak, di keluarkan oleh orang Islam atau tidak, suci atau tidak. Gejala ini menyerap dengan begitu meluas di kalangan umat islam umumnya dan umat Islam melayu Patani khususnya, perkara seperti ini dapat kita lihat makanan penjajah mendapat tempat di hati, cara penyediaan masakan di ikuti, penggunaan penambah perisa dan bahan-bahan lain khususnya makanan menjadi satu adat kebiasaan yang tidak dapat di pisahkan dari kehidupan umat Islam melayu Patani, sebagai contoh masakan rebus atau ''tom yam'' dalam bahasa kafir siam menjadi masakan yang sangat di minati ramai, hinggakan bahan ramuan dalam penyediaan masakan itu di buat oleh kafir siam yang mana bersumberkan haram dan najis seperti babi dan ular sawa. Beberapa makanan lain kafir siam turut di minati dan mendapat tempat di hati masyarakat umat Islam melayu Patani. Di segi pemakaian ialah satu sudut yang juga dapat membezakan kita dengan bangsa yang lain, kalau ''bahasa adalah jiwa bangsa'' pakaian adalah ''lahiriah'' satu-satu bangsa. Kesan penjajahan pemakaian terhadap umat Islam melayu Patani masih di lihat kurang ketara kesannya, tetapi sudah nampak secara umumnya kesan penjajahan itu, di lihat cara pemakaian yang kurang kemas, rambut tidak terurus, selekeh, kelihatan seperti dhaif dan miskin, tidak terurus, seperti bermasalah dan sebagainya. Di segi hiburan pula ia adalah hasil dari penjajahan bahasa, apabila bahasa penjajah sudah menguasai jati diri sebenar, orang yang di jajah mula terpengaruh dan minat terhadap hiburan penjajah , penyayi, pelakon kafir siam di kenali, di minati dan menjadi pujaan, lagu-lagu dan filem-filem kafir siam di dengari dan di tontoni, berbangga dengan mereka. Apabila tunjang utama jati diri bangsa seperti bahasa dan pakaian sudah terhakis, secara tidak lansung dan tanpa di sedari benih-benih penjajahan masuk mendarah daging dalam jiwa, maka lahirlah cara hidup, tindakan, cara fikir berlatar belakangkan penjajah, maka jadilah bangsa melayu beracuankan kafir siam, rupanya melayu tapi jiwanya siam. Inilah sedikit sebanyak yang mampu saya tulis tentang kesan penjajahan kafir siam terhadap umat Islam melayu Patani, segala teguran dan pembetulan amatlah di alu-alukan, di samping itu marilah kita sama-sama mendoakan agar umat Islam melayu Patani mendapat kemerdekaan dalam masa terdekat dan begitu juga umat islam di seluruh dunia, agar di bebaskan Allah Taala dari segala bentuk penjajahan, yang mana kebanyakkan umat Islam kini hidup dalam kesengsaraan di tindas, di hina, di bunuh dan di zalimi, Ya Allah berilah pertolonganmu pada Islam dan umat Islam, binasakanlah musuh-musuhmu musuh Islam, Amin Ya Robbal Alamin, wasslam.
<$Selasa, 10 Mac 2009$>
PALESTIN – TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Oleh : Siti Hajar Fatimah Adnan

Firman Allah s.w.t:
“Maha suci Allah s.w.t yang telah memperjalankan hambanya [Muhammamad] pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya,agar Kami perhatikan kepadanya sebahagian tanda kebesaran Kami,sesungguhnya Kami maha mendengar ,maha melihat.” (Al-Isra’:1)

Palestin merupakan salah satu bumi yang penuh dengan keberkatan.Di sana terdapat Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam. Al-Aqsa merupakan destinasi isra’ pertama Nabi Muhammad s.a.w dan juga tempat bertolaknya mi’raj baginda ke langit. Selain itu ia adalah bandar suci yang ke 3 bagi umat Islam selepas Makkaktul Mukarramah dan Madinatul Munawwarah.

Namun Israel telah membuka tirai awal tahun 2009 ini dengan memerangi umat Islam di Gaza, Palestin melalui jalan udara,darat dan sebagainya. Mereka telah melakukan pembunuhan yang kejam keatas orang awam, termasuklah wanita, orang tua dan kanak-kanak tanpa rasa belas kasihan.Sehingga ke hari ini dilaporkan bilangan penduduk yang telah syahid mencecah hampir 6000 orang setelah hampir sebulan serangan berlaku.
Kekacauan dan penindasan yang dilakukan oleh Yahudi di tanah rakyat Palestin sejak tahun 1900-an masih berlaku sehingga kini. Dahulunya sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah, rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai agama, bahasa dan bangsa dapat hidup dengan aman dan selamat selama lebih kurang 400 tahun. Penyembelihan dan pembunuhan yang di¬lakukan dengan penuh kejam yang berterusan sehingga ke hari ini, bermula apabila kawasan tersebut jatuh ke dalam dominasi British dan ditambah pula dengan keinginan untuk me¬wujudkan negara Yahudi yang merdeka yang mana negara Palestin telah di dakwa oleh Yahudi adalah tanah asal kelahiran mereka.

Pada awal 1900-an, populasi Yahudi adalah kurang dari 10 peratus berbanding keseluruhan populasi Palestin. bermula dengan 10 peratus daripada keseluruhan populasi dua dekad yang lalu, kini menjadi 30 peratus pada tahun 1939. Kawasan pendudukan Yahudi turut berkembang selaras dengan pertambahan populasinya. Dan pada 1947, pemilikan tanah di Palestin oleh rakyat Yahudi adalah dalam 6%. Apabila negara Israel telah ditubuhkan, mereka merampas 90% daripada jumlah tanah Palestin.Ini merupakan satu kekejaman yang berlaku keatas umat Islam di Palestin. Orang-orang Yahudi berpendapat bahawa mereka merupakan "bangsa terbaik", yang telah dipilih oleh Tuhan dan bangsa selain Yahudi dianggap setaraf dengan binatang(qoyim),oleh kerana itu mereka harus tunduk dan percaya bahawa adalah menjadi hak asasi semula jadi rakyat Yahudi untuk tinggal di atas tanah yang dijanjikan (palestin), Yahudi berhak melakukan segala kekejaman dan pe¬nindasan untuk menghapuskan mana-mana pihak yang cuba menentang mereka.

Untuk melaksanakan matlamat mereka iaitu menubuhkan dan meluaskan negara Israel,mereka telah memaksa rakyat palestin untuk meninggalkan tanah yang mereka duduki selama beratus-ratus tahun dan berpindah ke kem-kem pelarian umat Islam Palestin, mereka dihalau dari rumah-rumah mereka tanpa sebarang justifikasi diajukan dan telah ditembak serta diserang, kediaman mereka dirobohkan serta tanah dan kebun dirampas.

Sehingga kini bilangan mereka yang hidup di kem-kem pelarian termasuk di negara-negara jiran seperti Lebanon, Jordan dan Syria berjumlah 3.5 juta orang. Mereka yang hidup dalam kem-kem pelarian ini sentiasa dibayangi dengan ketakutan kerana sering mengalami serangan bersenjata oleh kumpulan yahudi.

Kini, bilangan Yahudi di seluruh dunia telah mencecah hampir 12 milion. Mereka yang terkenal dengan sifat perkauman, kuat berusaha dan bekerja bertujuan untuk menghapuskan dan memecahkan perpaduan umat Islam,meskipun pelbagai cara.Sebagai contoh,Syarikat-syarikat mega seperti McDonald,KFC, Nestle dan sebagainya merupakan syarikat yang dimiliki oleh Yahudi, mereka menggunakan keuntungan yang diperolehi dengan menyalurkan kepada badan ketenteraan Israel untuk memerangi dan menjatuhkan umat Islam.Contohnya, Nokia merupakan salah sebuah syarikat yang terbesar yang menjadi pelabur utama kepada Israel.Pengurus besar Nokia Lars Wolf berkata dalam satu temubual dengan The Jerusalem Post (4 March 2001): Kami memang benar-benar tertumpu pada Israel daripada semua perspektif kerana kami ada sebuah projek yang dalaman bernama 'Project Israel' yang bermaksud kita melihat Israel daripada satu rangkaian-rangkaian perspektif, daripada perspektif Nokia Ventures Organization, dan juga dari perspektif Nokia Research Center ".
Firman Allah s.w.t:
“Dan orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan redha kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka.Katakanlah sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu,tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong bagi Allah.” (Al-Baqarah:120)
Oleh itu,masalah yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin bukan menjadi tanggungjawab keatas penduduk palestin sahaja,bahkan ianya menjadi tanggungjawab serta satu kewajipan bersama bagi umat Islam keseluruhan.
Sabda Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang islam,maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang islam)”
Justeru,setiap individu muslim harus memikirkan bagaimana cara untuk menyalurkan bantuan atau mencari jalan penyelesaian dalam mengatasi masalah yang berlaku keatas umat Islam di Palestin.
Sabda rasulullah s.aw:” Jihad merupakan amalan yang lebih utama selepas solat fardhu”.
Sekatan yang dilakukan oleh pemimpin negara dan arena politik dunia menyebabkan umat Islam lain tidak dapat menyalurkan bantuan dari segi ketenteraan kepada umat Islam Palestin.Namun Jihad mempunyai skop yang luas,ianya bukan hanya tertumpu kepada medan peperangan sahaja bahkan saluran bantuan dari segi kewangan,doa,qiamullail,memboikot barangan Israel merupakan salah satu dari wasilah jihad.
Allahyarham As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin pernah berkata:
“Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami?seketika nanti kalian akan mendengar tentangan peperangan besar keatas kami dan ketika itu akan terus merdiri dengan tertulis didahi kami bahawa kami akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh,bukan mati dalam keadaan melarikan diri.Akan mati bersama-sama kami anak-anak kami,wanita-wanita,orang-orang tua, dan pemuda- pemuda”

Sabda Rasullallah s.a.w: “Sesama muslim itu bersaudara,oleh itu jangan menganiya dan jangan mendiamkan diri Allah akan memperhatikannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesulitan sesama muslim,niscaya Allah akan melapangkan satu kesulitan dari beberapa kesulitannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi keaiban seorang muslim allah akan menutupi keaibannya pada hari kiamat.”( Bukhari dan muslim.)

Sumber Rujukan :

1.Al-Quran
2.Laman web-http//.www.harunyahya.com
3.Laman web-http//.www.Al-Quds.com
4.Laman web-http//.www.palestin.com
5. Buku “Gerakan Freemasonary Orentalisme Kristianisasi”, oleh Hj Nik Azran/Hj Mohd Mahadi.

Label:

<$Selasa, 3 Mac 2009$>
Perjuangan Yang Belum Selesai
Dari: Ustazah Mariam Jamilah binti Yusof

“Perjuangan yang belum selesai ”, itulah yang terdetik di hati penulis setelah pulang menghadiri Majlis Memperingati Almarhum Syeikh Niamat Yusof, Mantan Syeikhul Maahad yang juga merupakan pengasas Maahad Tarbiyah Islamiyah yang diadakan di dewan Tafaqquh Fiddin MTID pada 15 Jun 2008.


Ayahnda Ar Rahil Ust. Niamat Yusof



Benar, perjuangan tidak pernah selesai. Kerana itu, ketika anak Imam Ahmad bin Hanbal bertanya kepada bapanya, “Wahai bapaku, bilakah waktu untuk berehat?”, Jawab Imam Ahmad “Kerehatan dalam perjuangan bagi seorang muslim adalah ketika jasad terbujur tanpa ruh”. Justeru, Almarhum Syeikh Niamat sebenarnya sedang diberi tempoh rehat oleh Allah Taala setelah penat berjuang mengorbankan jiwa, harta, tenaga dan masa beliau dalam memastikan kelangsungan dakwah Rasulullah diteruskan. Beliau merintis satu jalan dalam meneruskan perjuangan dakwah Islam. Tetapi medan perjuangan yang dipugar oleh beliau sangat luas dan jauh. Ia tidak lengkap dengan usia yang dikandung badan beliau dan memerlukan langkah-langkah dan strategi-stretegi untuk memastikan kelangsungan perjuangan tersebut. Kesinambungan perjuangan Almarhum mesti diteruskan oleh individu-individu yang masih diberi nikmat nafas di muka bumi ini. Sekiranya ulama’ adalah pewaris para nabi, maka perjuangan para ulama adalah tanggungjawab orang selepasnya..

ALMARHUM SYEIKH NIAMAT DAN PERJUANGAN DAKWAH ISLAM

Penglibatan Almarhum dalam bidang dakwah telah bermula sejak beliau di bangku sekolah lagi. Beliau telah menjadikan bidang penulisan sebagai medan dakwah beliau apabila karya-karyanya yang termuat dalam majalah atau akhbar ketika itu mempunyai mesej-mesej dakwah yang menyentuh soal ketuhanan, akhlak dan nilai murni. Semasa melanjutkan pelajaran ke Mesir, beliau tidak terlepas dalam jaringan dakwah Islam setelah diberi tanggungjawab untuk sama-sama memimpin PMRAM yang ketika itu dikenal sebagai PMRAB. Setelah pulang, beliau sering memberi kuliah dan ceramah atas permintaan masyarakat sekitar di samping kerjaya sebagai seorang guru di Maktab Mahmud Kedah.


Syeikh Niamat sedang memberi kuliah di kem latihan kader dakwah pertama.


Antara usaha penting dalam dakwah Islam beliau ialah beliau merupakan pelopor utama di dalam menggerakkan wanita Melayu Islam di negara ini untuk membiasakan diri memakai tudung .Ketika mana penutupan aurat sangat janggal pada tahun 70-an, beliau memberanikan diri menyeru rakan-rakan terdekat supaya menggalakkan isteri mereka, anak-anak perempuan atau saudara mara perempuan untuk memakai tudung. Kempen memakai tudung ini juga turut disebarkan di institut-institut pengajian.

Antara pendekatan hikmah yang diambil oleh beliau sepertimana yang diceritakan oleh rakan-rakan terdekat, beliau mengajak muslimah Melayu untuk menutup aurat tanpa memaksa melalui kuliah-kuliah ilmunya di samping menganjurkan rehlah untuk mengeratkan hubungan dengan sasaran madu’nya dengan menjemput sama mahram mereka dalam usaha membangkitkan kesedaran menutup aurat di kalangan wanita Melayu di Kedah ketika itu.



Para Peserta Kuliah Mingguan Syeikh Niamat , antaranya Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Fadil Nor dua dari kanan, bertempat di Alor setar kedah pada 16 disember 1972.



Almarhum Syeikh Niamat merupakan seorang yang petah berbicara, hikmah dalam menyampaikan dakwahnya. Sepertimana catatan Presiden Teras Pengupayaan Melayu dalam penulisan beliau yang bertajuk PEMERGIAN YANG SUKAR DIGANTI.
”Sebagai seorang pendakwah, beliau sering menunjukkan contoh dalam perbicaraannya, menggunakan kata-kata yang sesuai, mengungkap istilah yang cukup cermat dan berhati-hati”.

Dalam menggunakan pendekatan sederhana dan berhikmah semasa berdepan dengan sasaran dakwahnya, beliau sangat tegas tentang kesucian agama Islam dan ajarannya serta amat sensitif dengan unsur-unsur yang mencemari kesucian agama Islam dan penghinaan yang dilontarkan kepada utusan risalah Allah, nabi Muhammad S.A.W. Kerana itu, apabila beberapa individu mengeluarkan kenyataan yang menghina baginda S.A.W dan mempertikaian kebenaran syariat, beliau yang ketika itu menjadi Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah telah membuat aduan kepada Penguatkuasaan dan Pendakwaan JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah) agar mereka disiasat atas kesalahan Jenayah Syariah. Tidak cukup dengan itu, beliau bersama dengan badan dakwah lain juga turut mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah selaku Pengerusi Majlis-Majlis Raja Melayu untuk meneliti dan mengambil tindakan terhadap mereka yang biadap terhadap agama Islam.

Tarikh 13 Mac 2001 menyaksikan tindakan yang diambil oleh Almarhum memperlihatkan ketegasan beliau dalam membela agama Allah dan kepekaan beliau memanfaatkan undang – undang yang selama ini dipandang sepi untuk mengatasi penghinaan terhadap Islam. Syeikh Niamat melalui tindakan tersebut juga telah memberi amaran kepada individu-individu lain yang mempunyai niat jahat terhadap ajaran Islam agar tidak mencontohi mereka yang didakwa tersebut sambil menyuntik kesedaran di hati umat Islam yang tidak sensitif terhadap penghinaan agama Islam agar turut sama membela agama mereka. Beliau juga melalui tindakan tersebut telah mengundang keprihatinan institusi-institusi penting negara seperti institusi raja agar berperanan dan turut peka terhadap isu umat Islam


ALMARHUM SYEIKH NIAMAT DAN GERAKAN ISLAM

Setiap muslim memikul tanggungjawab dakwah yang merupakan perjuangan Rasulullah. Sejarah merakamkan kelangsungan dakwah Islam berjaya diteruskan hingga kini dengan usaha-usaha yang dilaksanakan secara berkumpulan. Hakikat ini dibenarkan dengan firman Allah yang menganjurkan kita berkerja secara jamaah sepertimana dalam surah al-Maidah ayat:2 yang bermaksud: ”Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”. Dan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: ”Bantuan Allah bersama orang-orang yang berkerja secara berkumpulan”.



Syeikh Niamat di hari pencalonan pilihanraya umum 1999 di dun Tunjang, Kedah darul aman.



Menyedari kebenaran ini, Syeikh Niamat banyak menyertai gerakan-gerakan Islam sebagai paltform kepada perjuangan dakwah beliau. Sepertimana yang tersebut sebentar tadi, beliau telah melibatkan diri dengan persatuan–persatuan semasa di alam kampus lagi. Semasa di Mesir beliau telah menjadi anggota PMRAM ( Persatuan Melayu Republik Mesir). Sekembali ke tanah air, beliau masih mengekalkan prinsip berdakwah secara jamaah apabila menyertai badan-badan dakwah di Malaysia. Penglibatan beliau dalam badan-badan dakwah tersebut bukan sekadar ahli biasa. Di dalam PERKIM,beliau telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha PERKIM Kedah.Sementara di dalam ABIM (Angkatan Belia Islam), beliau pernah diberi kepercayaan untuk memimpin ABIM Kedah apabila dilantik sebagai Yang Dipertua ABIM Kedah. Penglibatan beliau di dalam PUK (Persatuan Ulama Kedah) turut dihargai dengan kepercayaan sebagai Timbalan Yang Diperrtua.

Seorang ulama yang sensitif dengan isu masyarakat seperti Syeikh Niamat memahami bahawa politik dan dakwah tidak dapat dipisahkan. Justeru, Syeikh Niamat turut diberi kepercayaan menganggotai kepimpinan Parti Islam Semalaysia(PAS) sebagai naib ketua Dewan Ulama PAS pusat sebagai jawatan terakhir sebelum meninggal dunia, serta turut diberi peluang bertanding sebagai calon PAS semasa pilihanraya umum 1999 di dun Tunjang.


SYEIKH NIAMAT DAN LAPANGAN PENDIDIKAN

Menyedari kepincangan dan kerosakan umat manusia bermula daripada pendidikan yang tidak mengikut acuan Islam yang sebenar,dengan tekad mencari redha Allah dan memanusiakan manusia, Syeikh Niamat mengambil keputusan untuk mengasaskan pusat pendidikan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang dinamakan Maahad Tarbiyah Islamiyah yang terletak di Kg. Tengah Derang Kedah. Idea penubuhan MTI ini bertunas setelah Syeikh Niamat berjuang di dalam ABIM. Masalah ummah seperti keruntuhan moral dan akhlak,kepincangan hidup dan penyelewengan perlu dirawat daripada akar umbinya. Kerana itu, beliau berpandangan pendidikan yang erlandaskan Islam mampu menyediakan masyarakat sejahtera yang mampu mensejahterakan masyarakat sekelilingnya. Beliau juga berkeyakinan bahawa sistem pendidikan yang ”bertuhankan” sekular tidak mampu menjamin kesehteraan masyarakat meskipun masyarakat tersebut maju dan cemerlang pada pembangunan materialnya kerana pembangunan kemanuasiaannya rosak dan sepi daripada nilai-nilai murni. Berikut adalah coretan beliau dalam satu rencana bertajuk MELAHIRKAN GENERASI ISLAM menyatakan isi hati beliau terhadap bidang pendidikan.



Sayyid Abul Hasan Ali Al-Hasani An-Nadwi, ketika menziarahi M.T.I Derang dan meletakan batu Asas di Maahadul Ali Litafaqquh Fiddin pada tahun 1987.



”Pada tahun 1978, saya mendapat kesedaran untuk melahirkan institusi pendidikan yang dibina menerusi pemikiran apabila berjuang di dalam ABIM. Saya yakin pendidikan sekular tidak akan sampai ke mana dan tidak dapat menyelesaiakn masalah ummah.”

Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang diasaskan pada tahun 1980 dan mula beroperasi pada 1981. Pusat pendidikan ini menyimpan seribu satu pengorbanan dan perjuangan Almarhum dalam mengislamisasikan pendidikan. Ia menyaksikan pengorbanan almarhum untuk meninggalkan kesenangan kehidupan peribadi demi kesejahteraan ummah. Maahad yang berasal daripada kawasan rimba kini dipugar untuk menanam benih-benih ulama masa depan. Cita-cita almarhum bukan sekadar menyediakan pendidikan rendah dan menengah, beliau menaruh harapan agar Maahad mampu menjadi pusat pengajian tertinggi bagi merealisasikan kemuncak tarbiah yang telah diterap kepada para pelajar.



Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Selepas penebangan pokok - Tahun 1980.




MADAH SEBELUM PENUTUP

Menjadi anak murid kepada almarhum Syeikh Niamat menjadikan penulis bersyukur dan berbangga kerana diberi kemuliaan oleh Allah untuk sama-sama diasuh oleh mereka yang bergelar ulama. Meneliti sejarah Syeikh Niamat menjadikan penulis insaf dengan pemilihan Allah terhadap hamba-hambaNya. Betapa dalam keghairahan manusia menggali kekayaan dunia, masih ada segelintir hamba-hamba Allah seperti almarhum yang tidak terusik hati dalam kepayahan memanusiakan manusia dan mensejahterakan ummah meskipun kemewahan dunia terpinggir daripada hidup beliau. Syeikh Niamat merupakan antara ulama yang mempunyai idea yang bernas dan pandangan jauh dalam memertabatkan dakwah Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya melalui peranan yang dicurahkan melalui gerakan-gerakan Islam yang disertai. Pendidikan menjadi bidang pilihan dakwah Syeikh Niamat untuk meneruskan kesinambungan dakwah Islam dalam usaha mendidik ummah ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Di saat yang tragis kini,
Yang Tinggal hanya seuras tali Cuma
Sebuah ingatan yang bernama zikir
Terhadap Allah yang menjadi punca segala
Pun begitu masih ada sesuatu yang berharga
Pada sebuah ziarah yang mengandungi nostalgia
Mewarnai segala derita yang melukai rasa
Walaupun ungkapan bukan lagi perantaraan
Sebuah renungan sudah cukup mewakili bicara
Mengembalikan kesedaran rentak juang lalu
Dalam bisikan yang halus terungkap pesanan
Sebaris khulasah yang menggarisi tapak perjuanganTegakkan Daulah Islamiah nanti
Dalam strategi yang kau pilih


Syeikh Niamat Yusof -17 Julai 1994.

Label:

<$Selasa, 24 Februari 2009$>
PERANAN ULAMA DALAM GERAKAN PEMBEBASAN PATTANI
Oleh : Siti ‘Aisyah Adnan

Pengenalan

Thailand merupakan salah satu negara Asia Tenggara yang terletak disebelah utara Malaysia dan bersebelahan dengan selatan Myanmar (Burma). Umat Islam secara demografinya adalah golongan minoriti namun begitu penting kerana empat negeri bahagian selatan yang berjiran dengan Malaysia iaitu Pattani, Yala, Narathiwatt,Songkhla dan Satun memiliki sejarah keagamaan dan kebudayaan Islam yang utuh ditambah dengan kemunculan ulama-ulama besar yang bersatu dalam gerakan menuntut wilayah autonomi dari kerajaan Thailand.

Negeri-negeri bahagian selatan ini bagaimanapun terpaksa mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan yang berpusat di Bangkok antaranya bertutur di dalam bahasa Thai dan mempelajari adat resam masyarakat Siam yang majoritinya menganut agama Budha bermazhab Teravada. Secara umumnya agama Budha mempengaruhi keseluruhan tingkah laku penduduk Thai khususnya dalam bidang pendidikan dan upacara-upacara rasmi kerajaan. Patung-patung Vihara , Sudartha Budha Gautama dan pelbagai lagi simbol karut aliran Teravada boleh ditemui di mana-mana.Pada tahun 1947 Haji Sulong menubuhkan Pattani People Movement (PPM) yang mendapat sokongan penuh dari golongan agamawan selepas beliau dilantik menjadi Ketua Majlis Hal Ehwal Islam Wilayah Selatan. Beliau turut dikenali sebagai “Bapa Perjuangan Pattani” kerana dengan tegas menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Thai ketika itu Thavan yang berisi Tujuh Permintaan hasil perbincangan dengan PPM.

Antara Tujuh Permintaan itu adalah:

Melantik seorang pemimpin beragama Islam di wilayah-wilayah Pattani menerusi plihanraya yang bebas dengan hak autonomi yang luas.
Bahasa Melayu diajarkan kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun sebelum diterapkan bahasa siam.
Hasil tani tempatan digunakan untuk penduduk Pattani sahaja.
Tulisan dan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.
Mahkamah Sivil tidak berhak mencampuri urusan yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah.
Pegawai kerajaan terdiri daripada 80% Melayu-Muslim,mengikut jumlah penduduk di wilayah terbabit.
Mengiktiraf identiti masyarakat Melayu-Muslim dan ketuanannya sebagai Bangsa Melayu Pattani.

Bagaimanapun Haji Sulung tidak menuntut kedaulatan penuh sebuah negara merdeka secara mutlak yang jelas akan memecahkan polisi yang telah termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang Thailand tetapi memadailah sebuah wilayah autonomi yang membolehkan mereka mempertahankan identiti dan budaya sebagai Melayu-Muslim, disebabkan Pattani pernah menjadi salah satu pusat penyebaran Islam terkemuka di Asia Tenggara pada awal abad ke-17 hasil kedatangan saudagar-saudagar Arab ke Thailand pada abad ke 10.

Ternyata kerajaan Thai pimpinan Thavan Thamrongnavasawat bertindak biadap dengan menolak keseluruhan usul yang di hantar oleh Haji Sulong menyebabkan keadaan menjadi tegang apabila beliau bangun menentang kerajaan.

Namun keadaan menjadi jernih sedikit apabila terjadinya rampasan kuasa yang menyaksikan Pridi Bhanomyong menaiki takhta menggantikan Thavan Thamrongnavasawat. Beliau menerima keseluruhan memorandum yang dihantar kecuali usul yang meminta untuk menjadikan Pattani sebuah wilayah autonomi.

Tetapi, keadaan menjadi tegang kembali apabila Pibul Songkram bangun menjawat tampuk pemerintahan yang pernah didudukinya sebelum ini dengan menggulingkan Pridi Bhanomyong. Sebaik sahaja peralihan kuasa berlaku, Pibul Songkaram mengangkat senjata melawan Haji Sulong dan rakan-rakannya yang menyebabkan ratusan penduduk melayu-muslim terbunuh dan selebihnya melarikan diri ke Semenanjung Malaya. Natijahnya ia mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan menjadi tekanan politik kepada Thailand hingga akhirnya masalah melayu-muslim di Pattani ini dibawa ke persidangan PBB dan Liga Arab. Namun ia hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga dan berpura-pura memberitahu dunia bahawa mereka prihatin dengan apa yang terjadi kepada masyarakat muslim-Pattani tetapi yang nyata sehingga hari ini isu kekejaman dan diskriminasi tangan-tangan Siam-Budha yang dahagakan darah golongan minoroti melayu-muslim tidak pernah berkesudahan bahkan bertambah buruk dan menakutkan.

PENUTUP

Antara kata-kata Haji Sulong yang masyhur dan membekas dalam diri rakyat Pattani adalah: “Sekiranya saya seorang ahli politik yang berniat jahat menghasut dan menentang kerajaan sebagaimana yang dituduh itu, maka saya tidak akan menitiskan air mata walaupun setitik”.

RUJUKAN:
1) Esei bertajuk: Gerakan pemisah:Thailand dan Sri Lanka,satu perbandingan.
2) Makalah bertajuk: Masalah Islam di Thailand.
Disusun oleh: Rahayu Dwi Prastiti,Tri Widodo,Defi Anggraeni dan Nur Anisa.
3) Makalah : Prosiding Nadwah Ulama' Nusantara 111
Ketokohan dan dan pemikiran Ulama'.
Diselenggara oleh: Farid Mat Zain,Jaffay Awang,Rabithah Mohd Ghazali.
Oleh: Saifullah Mohd Sawi.
4) Tamadun dan Sosio-Politik Melayu Pattani.
Oleh: Nik Anuar Nik Mahmud dan Mohd Zamberi A.Malek.

Label:

<$Isnin, 23 Februari 2009$>
RUMUSAN SEJARAH PATTANI
Oleh: Mohd Afiq Kamaruzzaman





Pattani adalah sebahagian daripada tanah “Tanah Melayu”. Bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-19 Pattani telah menjadi mangsa dasar imperialistik kerajaan Siam. Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Pattani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Pattani, dalam tahun 1902 kerajaan Siam telah melaksanakan dasar Thesaphiban.

Dengan itu, sistem pemerintahan kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan termeterainya perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Pattani telah diakui oleh W.A.R Wood, konsol British di oleh British sebagai sebahagian daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang- orang Melayu Pattani.

Semenjak penghapusan pemerintahan kesultanan Melayu Pattani, orang-orang Melayu Pattani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang “misgoverned”. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali berlaku di Pattani. Pada tahun 1923, tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja kerajaan Melayu Pattani, dengan sokongan pejuang- pejuang Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti- Siam menjadi lebih hebat lagi apabila kerajaan Pibul Songgram ( 1939- 44 ) cuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Pattani untuk membebaskan tanah air mereka daripada jajahan Siam. Tengku Mahmood Mahyideen, putera bekas Raja Melayu Pattani juga seorang pegawai berpangkat Mejar dalam pasukan Force 136, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Pattani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu. Cadangan Tengku Mahmood itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang.
Harapan itu semakin cerah apabila kuasa- kuasa berikat, dalam Pengisytiharan San Francisco pada bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri ( self- determination ) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan.

Atas semangat itu, pada November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Pattani dipimpin oleh Tengku Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada kerajaan British merayu supaya empat wilayah di selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam ataupun Pattani.

Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya, kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis China. Justeru, kerajaan British mahu memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan negara- negara Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama kerajaan Siam bagi menghapuskan kegiatan pengganas- pengganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu- Siam.

Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi pentadbiran dan sosio- ekonomi di Pattani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Pattani mula dianggap kurang penting, malahan jika dibangkitkan akan menjejaskan hubungan dengan Siam.

Selepas persidangan Songkla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin perjuangan Pattani. GEMPAR juga telah diharamkan. Tengku Mahmood Mahyideen telah ditekan manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan Politik Pattani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.

Sehubung perjuangan politik kemerdekaan Pattani, seorang pegawai Pejabat Tanah Jajahan British pernah mengulas bahawa:
If the affair in this world were settled by common and equity, I personally have no doubt what ever that Pattani ought to be seperated from Siam dan become part of Malaya. The inhabitants are 90%. Malaya and 90% Mohamedans ( in a Buddhist country ). All their connections are with the south, and particulary with Kelantan, and the Siamese record in Pattani is one of dreary mis- rule interspersed with sporadic outbursts of actual tyranny. There is no doubt that where the wishes of the inhabitants lie, and a fair plebscite ( if one could be arranged ) could only have one result. In the complexs affair of international polotics, however, mere practical considerations of this mind do not find much place.

Label:

Apa Kata MUSYRIF
Ustaz Zulfadhli Yusuf
Graduan Kuliah Dakwah Islamiah




بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحـبه ومن والاه.أما بعد:

Puji dan syukur setingginya kepada Allah s.w.t. di atas limpah kurniaNya buat alam sejagat, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., kaum keluarga baginda, para sahabat r.a, para tabie'in dan mereka-mereka yang mengikuti jejak langkah pembela-pembela agama sehingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih pada kumpulan gerak kerja ILHAM yang bertungkus lumus berusaha menghasilkan majalah PMTIS untuk kesekian kalinya.

Tidak lupa buat pimpinan PMTIS yang baru, terima kasih kerana memberikan kerjasama dalam menjayakan gerak kerja PMTIS buat sesi ini.

Saudara sekalian,

Apa yang ingin saya sampaikan buat sahabat sekalian, sebagai peringatan untuk kita semua, walaupun ia melibatkan perkara-perkara yang sememangnya saudara sekalian tahu. Cuma saya sebutkan juga sebagai peringatan untuk kita semua.

(وذكر فإن الذك تنفع المؤمنين) الذاريات: 55

Saudaraku, kita ini orang Islam, maka kita adalah bersaudara, bila ada saja perselisihan faham atau perbezaan pendapat dalam melaksanakan sesuatu perkara yang lebih berbentuk kepada cara pelaksanaan bukan yang bertentangan dengan dasar, janganlah sesama kita bergaduh dan bermasam muka. Gunalah hikmah dalam menyelesaikan perkara ini dengan kembali kepada apa yang disuruh oleh Islam. Islam menyuruh kita berbincang,bermesyuarat,hiwar dan sebagainya.
Saudaraku, perselisihan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa kerana manusia itu sendiri dicipta Allah dengan pelbagai tabiat diri, kecenderungan dan cara berfikir yang berbeza. Maka yang perlunya di sini, kita adun dan olah dengan cara yang elok dengan acuan Islam, sebagai penyelesai masalah.

Saudaraku, kita datang ke bumi barakah ini untuk belajar, ianya adalah tujuan utama kita di sini, maka ambillah peluang keemasan yang jarang-jarang kali ada, yang jarang semua orang mendapat peluang seperti ini.Beruntung sangat kita kalau kita dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya. Kita perlu ada satu perancangan yang teliti, lengkap dalam tempoh kita berada disini. Setiap pelajar mesti ada jadual harian belajarnya, buku apa mahu dia baca, berapa jam untuk mengulangkaji, menelaah, muzakarah selain dari waktu di dalam kelas, itupun kalau yang rajin, berapa buah kitab mahu kita baca setiap hari, berapa masalah ilmu kita tidak faham, kurang jelas, mustholahat itu dan ini, makna itu dan ini, berapa kamus yang kita rujuk untuk kita faham, semua perkara tersebut memerlukan satu penyusunan yang rapi.

Saudaraku, kita bukan lagi berada di Derang, bukan lagi di Malaysia, yang mana sukatan pelajaran sedikit kalau dibandingkan di sini, yang mana sikap kita bertungkus lumus membaca, hafal tetapi tak paham bila nak imtihan, yang mana kita akan bertanya pada guru-guru dari muka surat mana ke mana matlub untuk imtihan. Saudaraku sampai bila kita nak belajar untuk imtihan, bila imtihan semakin hampir, kita mula menggelabah, kerana banyak yang perlu dibaca, sedangkan sebelum itu kita hanya leka. Disebabkan terlalu gelabah kita mula menghafal walaupun tanpa difahami isi tajuk perbincangan, kita akan mula sibuk mencari ringkasan, di kedai atau dari kawan-kawan. Ini semua setuasi yang selalu terjadi di kalangan kita.

Saudaraku, kurangkan masa tidur mu, jangan tidurmu seperti bayi yang baru lahir yang tidurnya berjam-jam lama. Kita tidak persalahkan jika ada keuzuran atau yang sewaktu denganya.

Saudaraku, berdoalah, berusahalah, bekerjalah dengan apa cara sekalipun selama mana wasilah itu mashru' untuk menjayakan agamamu Islam yang teramat mulia ini, untuk mempertahankannya, membelanya dari dihina. Fikirlah, renunglah masalah umat yang sedang nazak ini. Yang nasibnya tidak terbela, bermusuhan sesama sendiri dalam perkara kecil. Bukan sekadar berfikir, bukan sekadar merenung, mengkritik, tapi carilah cara penyelesaian yang terbaik dan berhikmah, Bertindaklah seupaya mungkin dengan gerak kerja jamai'ei.

Saudaraku, kerja jamaah ini banyak. Kita tidak mampu untuk melakukan apa saja kerja jamaah, kecuali dengan kita bersatu, berganding bahu, tolong menolong, pembahagian tugas yang teratur dan teliti. Saudaraku Islam ini syumul, bukan hanya tertumpu pada salah satu dari aspek kehidupan, bahkan ia merangkumi semua aspek kehidupan, masyarakat, politik, ekonomi, undang-undang dan lain-lain lagi. Saudaraku kita memerlukan banyak team atau kumpulan untuk bergerak dalam amal jamaei, baru kita boleh melakukan dakwah dalam semua bidang, satu team yang tertumpu pada politik, satu team melawan dakyah kristian, satu untuk melawan yahudi, satu melawan rawafidh, satu melawan skularism, sosialism, satu team dalam pendidikan, satu team dalam pembangunan luar bandar, satu team menjenguk pesakit-pesakit yang susah di hospital dan sebagainya yang mana terlalu banyak yang perlu kita sama berjuang melaksanakannya.

Moga kita bersama-sama dapat memanfaatkan sebaik-baiknya catatan yang ringkas ini untuk kita maju bersama ke hadapan. Wassalam.

Label:

<$Ahad, 22 Februari 2009$>
KHABAR YANG TERPENJARA


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam, ahli keluarga dan para sahabat baginda radiallahu anhum.

Agaknya belum terlambat untuk kita mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah 1430. Walaupun keluaran ILHAM pada kali ini tidak menjadikan ia sebagai fokus utama untuk dibicarakan yang kebiasaannya kita akan membicarakan tajuk penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam dari bumi Makkah ke Kota Madinah setiap kali datangnya pertukaran tahun baru hijrah. Kita sudah lazim di dalam kehidupan kita khususnya di Malaysia, tajuk seperti ini akan kita dengari dari ceramah-ceramah atau kuliah agama samada di surau atau masjid, tidak ketinggalan juga akhbar atau majalah akan mebahaskan tentang perkara ini yang turut memuatkan beberapa intipati penting dari kisah agung tersebut.

Namun di sebalik saratnya maklumat tentang penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam dan betapa meriahnya sambutan yang diadakan (walaupun tidak semeriah sambutan tahun baru masihi) ditambah lagi dengan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah pada setiap kali datangnya tahun baru hijrah masih ada di antara kita yang belum dapat mengambil pengajaran darinya.

Penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam sebenarnya adalah bagaikan satu nafas baru bagi kaum muslimin yang telah bersama Nabi semasa di Kota Makkah. Mereka telah bermati-matian untuk mempertahankan agama yang baru mereka anuti itu di samping berusaha untuk menyebarkannya. Lantaran dari keteguhan dan semangat yang mereka tunjukkan itu, maka mereka telah menerima dua “anugerah” istimewa iaitu penyeksaan dan penghinaan dari kaum kafir Quraisy.

Kalau kita merenung kembali bagaimana azab seksaan yang telah diterima oleh Saidina Bilal bin Rabah, seorang hamba abdi yang diseksa oleh tuannya kerana memeluk Islam. Tidak ketinggalan kisah pengorbanan yang dilakukan oleh keluarga Ammar bin Yasir yang dibunuh seisi keluarganya demi mempertahankan Islam, kita akan merasai betapa susahnya untuk medapatkan sesuatu kejayaan yang begitu banyak menuntut kesabaran dan pengorbanan.

Begitulah apa yang dikatakan nafas baru yang terhasil daripada penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam dan kaum muslimin ke Kota Madinah. Justeru pada keluaran ILHAM kali ini, kami telah memilih tajuk “KRISIS PATTANI: bagaikan berhenti tanpa noktah” untuk mencari dan memberi satu nafas baru bagi umat Islam di negara Pattani yang kini bagaikan sudah kehilangan simpati masyarakat dunia. Sebenarnya tajuk ini lebih cenderung untuk mencungkil kembali satu krisis yang cuba ditutup rapat dari pengetahuan luar oleh kerajaan Siam. Kalau kita lihat di dada-dada akhbar dan majalah beberapa tahun yang lalu begitu sarat dengan beberapa episod berdarah yang melibatkan umat Islam Pattani, dimulai dengan kes pembunuhan di Tak Bai kemudian disusuli pula dengan serangan di Masjid Krisek dan lain-lain lagi. Namun krisis yang dulunya menjadi tajuk utama perdebatan dan berbahasan samada di peringkat pimpinan ataupun masyarakat marhaen kini kian menyepi dan pudar.

Menyedari akan hakikat inilah, kami cuba untuk membongkar kembali krisis ini agar ia kembali diberi perhatian sewajarnya, bukan hanya dibiarkan berhenti tanpa noktah. Kita sendiri melihat bagaimana OIC yang kononnya sebuah organisasi yang menjadi benteng pertahanan bagi umat Islam juga tidak memandang serius tentang perkara ini. Ia jelas berlaku di dalam persidangan OIC yang diadakan di Uganda pada tahun lepas. Justeru marilah sama-sama kita berganding tangan berjuang untuk mengembalikan hak-hak umat Islam yang telah dirampas, menaikkan semangat jihad yang telah pudar dan menggilap kembali kader-kader yang mampu untuk menjadi payung kepada perjuangan Islam.

Akhir sekali saya mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Ketua Umum PMTIS, Ustaz Omar Faruq bin Ali yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk mengetuai majalah ILHAM walaupun saya bukanlah terdiri dari orang yang berpengalaman di dalam bidang ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada semua krew ILHAM yang banyak memberi kerjasama di dalam penerbitan ILHAM pada kali ini terutama kepada mereka yang sanggup untuk menjadi bidan terjun demi membantu krew-krew yang sedang menempuhi peperiksaan. Tanpa mereka semua, kejayaan dan matlamat majalah ini tidak akan tercapai. Kepada Allah kita memohon pertolongan agar semua gerak kerja kita yang menuntut segala jenis pengorbanan ini dipermudahkan dan diterima sebagai satu amal kebajikan.

Sememangnya setiap kejayaan itu menuntut berjuta pengorbanan, begitu juga setiap pengorbanan menuntut berjuta semangat dan keberanian. Wassalam.

Wan Muhammad bin Wan Abd Halim
Pengarah Urusan ILHAM 1430/2009
abuwafiq13@yahoo.com

Label: